MAKRIFATULLAH (MENGENAL ALLAH SWT) 3

Konsep Wahdatul Wujud ini ditolak oleh Sayidina Ali (ra) pada zaman pemerintahannya sebagai Khalifah Ar Rasidin terakhir.

As Shahrustani meriwayatkan bahawa pada suatu kali Ibn Saba berkata kepada Ali Bin Abu Talib, “Engkau, engkau?” Maksudnya, engkau tuhan. Ali menghalaunya ke Madain.

Ibnu Hazm meriwayatkan bahawa suatu puak dari sahabat-sahabat Abdullah Ibnu Saba datang kepada Ali Bin Abu Talib dan berkata, “Engkaulah dia!” Ali bertanya kepada mereka, “Siapa itu dia?” Mereka menjawab, “Engkau Allah.” Maka marahlah Ali, lalu menjatuhkan hukuman bunuh keatas mereka dengan dibakar sampai mati. Dia memerintahkan supaya dinyalakan api dan melemparkan mereka kedalamnya:Ahmad Shalaby, Perbandingan Agama Agama2 Yang Terbesar Di India, 61 (1970).

Fahaman ‘Kesatuan dengan Allah swt’ juga membawa kepada masalah. Mereka ditanya kalau wali sudah menjadi tuhan maka di manakah taraf nabi terutama Rasulullah (saw), adakah di bawah wali?. Mereka menjawab bahawa taraf nabi termasuk Rasulullah (saw) adalah di bawah wali.

Menurut mereka Nabi Musa as telah belajar dari Al Hadir as (yang di anggap wali) yang menunjukkan kurangnya darjat Musa as atau lebihnya darjat Al Hadir as lalu dijadikan alasan bahawa darjat wali adalah lebih tinggi dari para nabi: Mohd Sulaiman Hj Yasin, Mengenal Ilmu Tasawuf 2, 141 (1992).

Mereka juga ditanya kalau wali sudah menjadi Allah swt adakah Syariah tidak terpakai lagi kepada mereka? Mereka menjawab bahawa Syariah tidak terpakai lagi kapada mereka. Al Junaid ada berkata:

Hal ini di sisiku amat berat sekali; kalangan orang yang mencuri dan berzina (sekalipun) adalah lebih baik keadaan dan kedudukannya daripada kalangan orang yang memperkatakan (berpegang kepada) hal ini (mengugurkan taklif-taklif syara’: Zakaria Stapa, Tasawwuf Dan Empat Tokoh Sufi, XV (1996).

Sesudah itu, mereka ditanya lagi, kalau Syariah tidak terpakai maka untuk mereka tiada bezalah di antara isteri dan ibu? Mereka menjawab bahawa bagi mereka memang tidak ada beza ibu dan isteri. Perbezaan ini hanya untuk mereka yang tidak setaraf dengan mereka. Ibnu Tamiyah menulis:

Seseorang telah ditanya, “Mengapakah isteri dibenarkan bagi seseorang suami sedangkan ibunya dilarang baginya padahal semua kewujudan adalah satu jua.” Beliau (Tilmisani, seorang yang memegang kuat tentang kesatuan dengan Allah swt ) menjawab, “Sudah tentu, tidak terdapat perbezaan antara mereka. Tetapi bagi mereka yang belum tahu (dengan kebenaran Kesatuan) masih mengatakan ibunya terlarang. Kita juga mengatakan, “Ya dia (ibunya) juga terlarang kepada (orang yang jahil seperti) anda:Abu Hasan Ali Nadwi, Penyelamat Kerohanian Islam, 213 (1993).

Kefahaman ‘kesatuan dengan Allah swt’ tidak dapat diterima oleh syarak kerana itulah Al Junaidi telah menghukum mati ke atas Mansur Al Hallaj. Wali Songo telah menghukum mati Syeikh Siti Jenar (Syeikh Lemang Abang). Hamzah Fansuri juga telah dihukum mati kerana mengaku dirinya itu tuhan. Professor Dr Aboebakar Atjeh ada menulis:

Seh Lemang Abang di Jawa dan Hamzah Fansuri  atau Tengku Trubu’ied di Acheh, yang juga … dibunuh kerana tuduhan salah iktikadnya: Aboebakar Atjeh, Pengantar Sejarah Sufi dan Tasauf, 283 (1977).

Mereka yang mengaku diri mereka Tuhan memberi penjelasan bahawa semasa mereka membuat pengakuan itu, mereka berada dalam kefanaan dan dengan itu mereka tidak sedar apa yang mereka katakan. Syekh Yusuf Al Taj Al Makasari menulis:

Maka terucap apa yang terucap melalui lidah hamba yang sedang dalam keadaan fana dan tenggelam dalam penyaksian ke-Esaan mutlak, pada saat itu timbul ucapan tanpa disengaja: Syekh Yusuf Al Taj Al Makasari, Menyingkap Intisari Segala Rahasia,  99 (1996).

Hendaklah diingat, Nabi Muhammad (saw) dan para Sahabat tidak pernah berbuat begitu. Nabi Muhammad (saw) ada bersabda yang bermaksud bahawa silap satu perkataan boleh menjerumuskan seseorang itu ke dalam neraka. Baginda ada bersabda yang bermaksud:

Adakalanya seseorang mengucapkan sepatah kata yang menyebabkan ia tergelincir ke neraka jarak antara timur dan barat: Terjemahan Sahih  Muslim Bk. 4, 1022 (1994).

Prof. Muhammad Ramadhan Al Buti ada menulis:

Adapun setengah pengamal tasawuf pula menyangka dan bahawa hakikat Allah swt adalah kewujudan alam itu sendiri. Segala kejadian yang kita lihat di sekeliling kita pada hakikatnya tidak lain daripada kewujudan Allah swt itu sendiri yang telah berlembaga dalam pelbagai rupa dan bentuk. Lihat bagaimana akibat  yang telah menimpa akal yang digunakan di luar batas daya kemampuannya… tidak lain dari hanya sangkaan dan khayalan: Muhammad Said Ramadhan Al Buti, Keyakinan Hakiki, 124 (1996).

YAMAS

Yayasan Makrifatullah Sedunia (YAMAS) - Indonesia

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *