ISTILAH DAN SEJARAH (1)

Oleh: Ust. Hj. Hussien Bin Abdul Latiff

Mengikut istilah Imam Ahmad Ar Rifai, Makrifatullah adalah:
Pengenalan kepada Allah swt menerusi kesedaran yang jati di mana seorang itu benar-benar sedar atau dikejutkan kepada KewujudanNya atau KeesaanNya atau KebesaranNya: Saiyid Ahmad Ar Rifai, Benteng Ahli Hakikat Dalam Meniti Makrifat Kepada Allah, 42 (1994)

Syed Sabiq berpendapat bahawa Makrifatullah adalah keperluan asas untuk kehidupan kerohanian kita. Beliau menulis:

Makrifat kepada Allah Ta’ala itulah yang merupakan asas atau fundamen yang di atasnya didirikanlah segala kehidupan kerohanian: Sayid Sabiq, Aqidah Islam, 30 (1988).

Imam Ghazali berpendapat bahawa wajib kita mengenali siapa yang kita sembah sebelum menyembahNya. Beliau menulis:

Wajib bagimu mengenali dahulu siapa yang harus disembah  setelah itu baru engkau menyembah-Nya:Imam Ghazali, Minhajul Abidin, 24 (1997).

Syeikh Abdul Qadir Al Jilani berkata bahawa tanpa pengenalan kepada Allah swt (Makrifatullah), ibadah seseorang itu tidak akan sempurna.

Manusia tidak akan beribadah secara sempurna kepada-Nya tanpa makrifat yang sesungguhnya: Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, Sirrur Asrar, 17 (1997).

Kerana itulah jumhur ulama khalaf dan salaf mengatakan, “Awaluddin Makrifatullah” iaitu awal agama mengenal Allah swt : [Mohd Sulaiman Hj Yasin, Mengenal Ilmu Tasawuf 2, 39 (1992)] .

Mustahaknya makrifatullah kepada kita adalah kerana Allah swt mencipta Jin dan Manusia untuk satu perkara sahaja iaitu menyembahNya. Allah swt berfirman yang bermaksud:

Tidak-Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku : Adz Dzaariyaat (51):56

Ibnu Abbas dan Syeikh Abdul Qadir Al Jilani mentafsirkan ayat, “Tidak-Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk menyembah-Ku” sebagai “Tidak-Ku jadikan jin dan manusia melainkan untuk mengenali-Ku”: Al Quraisy An Naisaibury, Risatul Qusyairiah, 8 (1997); Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, Sirrur Asrar, 17 (1997).

Kerana pentingnya seseorang mengenal akan Tuhannya sebelum menyembahNya maka Allah swt di alam azali lagi telah mengenalkan  roh kita kepadaNya. Allah swt ada berfirman yang bermaksud:

Dan (Ingatlah) ketika Tuhanmu mengeluarkan keturunan anak-anak Adam dari sulbi mereka dan Allah mengambil kesaksian terhadap jiwa mereka (seraya berfirman), “Bukankah Aku ini Tuhanmu?” Mereka menjawab, “Benar (Engkau Tuhan kami) kami menjadi saksi: Al Araaf (7):172

Allah swt berbuat begitu supaya kita tidak mengatakan yang kita tidak menyembahNya kerana tidak mengenaliNya ataupun kita mengikut agama nenek-moyang kita justeru itu kita tidak boleh dipersalahkan. Sehubungan dengan ini, Allah swt ada berfirman yang bermaksud:

Agar di hari kiamat kamu tidak mengatakan, “Sesungguhnya kami (bani Adam) adalah orang-orang lalai terhadap ini (kerana tidak diberi pengenalan) : Al Araaf (7):172

Atau agar kamu tidak mengatakan, “Sesungguhnya orang-orang tua kami telah mempersekutukan Tuhan sejak dahulu sedang kami ini adalah anak-anak keturunan yang (datang) sesudah mereka. Maka apakah Engkau akan membinasakan kami kerana perbuatan orang-orang yang sesat dahulu” : Al Araaf (7):173

Apabila roh kita (yang sudah mengenali Allah swt) di masukkan ke dalam jasad kita semasa kita dilahirkan maka dengan itu kita semua dilahirkan beragama Islam. Namun kerana dendam kesumat Iblis, syaitan dan sekutu-kutunya, mereka mengoda manusia supaya kita lupa akan pengenalan yang diberi kepada kita di alam azali justeru itu  mereka dapat menyesatkan kita. Nabi Muhammad (saw) ada bersabda yang bermaksud:

Aku (Allah) telah menciptakan kesemua hamba-hamba-Ku beragama Islam tetapi syaitan telah menggoda dan menyesatkan mereka daripada agama  mereka: Terjemahan At Tirmidzi Bk. 4, 271 (1993)

Sesudah mereka sesat maka sesat pula zuriat-zuriat mereka. Nabi Muhammad (saw) ada bersabda yang bermaksud:

Setiap anak Adam dilahirkan beragama Islam kedua ibu-bapa mereka yang menjadikan mereka itu Yahudi dan Nasrani: Translation of Sahih Al Bukhari Vol. 8, 389-390 (1984); Terjemahan At Tirmidzi Bk. 3, 635-636 (1993)

Manusia benar-benar berada di jurang neraka namun, Alhamdulillah, kerana rahmat Allah swt mendalui kemurkaanNya, Allah swt telah menghantar lebih dari 124,000 nabi-nabiNya untuk membimbing manusia kembali mengenaliNya semula dan menyembahNya. Allah swt ada berfirman yang bermaksud:

Kamu dahulu telah berada di tepi jurang Neraka, lalu Allah selamatkan kamu dari Neraka itu: Ali Imran (3):103

Kalau tidaklah kerana karunia dan rahmat Allah kepada kamu tentulah kamu mengikut syaitan kecuali sebahagian daripada kamu. An Nisa (4):83

Sehubungan dengan ini, Rasulullah (saw) juga ada bersabda yang bermaksud:

Rahmat-Ku (Allah) mendahului kemurkaan-nya. Terjemahan Sahih Muslim Bk. 4, 685 (1994)

Di dalam Al Hadis (Miskatul Masabih) ada tertulis bahawa Allah swt ada menghantar lebih daripda 124,000 nabi-nabi termasuk rasul-rasul.

Lebih daripada 124,000 Nabi-nabi (termasuk Rasul-rasul). Al Hadis (Miskatul Masabih) Vol. 4, 200 (1994).

Disambung minggu hadapan. . .

YAMAS

Yayasan Makrifatullah Sedunia (YAMAS) - Indonesia

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *