ISTILAH DAN SEJARAH (2)

Oleh: Ust. Hj. Hussien Bin Abdul Latiff

Tugas kesemua nabi-nabi ialah mengajar umat mereka mengenali Allah swt, Tuhan Yang Satu, dan selepas itu menyuruh mereka menyembah Allah swt. Di dalam Al Quran ada  tertulis:

Kemudian Kami jadikan sesudah mereka umat yang lain. Lalu Kami utus kepada mereka seorang rasul dari kalangan mereka sendiri (yang berkata), “Sembahlah Allah oleh kamu sekelian, sekali-kali tidak ada Tuhan selain daripada-Nya.”: Al Mukminun (23): 31-32.

Dan Kami tidak mengutus seorang rasulpun sebelum kamu melainkan Kami wahyukan kepadanya, “Bahawasanya tidak ada Tuhan (yang hak) melainkan Aku, maka sembahlah olehmu sekalian akan Aku.”:Al Anbiya (21):25.

Nabi yang terakhir dihantar oleh Allah swt ialah Nabi Muhammad (saw). Namun Nabi Muhammad (saw) dihantar bukan kepada satu kaum tetapi kepada ummah sejagat. Allah swt ada berfirman yang bermaksud:

Muhammad itu sekali-kali bukanlah bapa dari seorang laki-laki di antara kamu tetapi dia adalah Rasulullah dan penutup Nabi-nabi: Al Ahzab (33):40.

Dan Kami tiadalah mengutus kamu melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam: Al Anbiya (21):107.

Mengikut Imam Ghazali Tasawuf sebagai ilmu mukasyafah (ilmu batin) yang dapat mengenalkan manusia kepada Allah swt (Makrifatullah). Imam Ghazali berkata:

Ilmu mukasyafah ialah ilmu batin. Dan itulah kesudahan segala ilmu. Imam Ghazali, Ihya Ulumiddin Bk. 1, 94 (1981).

Ilmu mukasyafah itu ialah bahawa terangkat tutup yang menutupi sehingga jelaslah kenyataan kebenaran Allah pada semuanya itu dengan sejelas- jelasnya laksana mata memandang yang tak diragukan lagi.Imam Ghazali, Ihya Ulumiddin Bk. 1, 97 (1981).

Lalu jelaslah ketika itu sehingga berhasillah makrifat yang hakiki… Imam Ghazali, Ihya Ulumiddin Bk. 1, 95 (1981).

Dengan ini, sesiapa juga yang mengajar seseorang lain untuk mengenali Allah swt telah mengajar ilmu Tasawuf. Dari penjelasan di atas ini jelaslah yang pertama-tama mengajar Tasawuf adalah Allah swt (di dalam alam azali) dan ini diikuti oleh para nabi-nabiNya.

Setelah wafat Nabi Muhammad (saw) pada hari Isnin 12hb Rabiul-Awal tahun kesebelas Hijriah, para sahabat melanjutkan dakwah baginda untuk mengenalkan manusia kepada Allah swt dan menyembah-Nya. Dengan ini para sahabat juga mengajar ilmu Tasawuf. Rasulullah (saw) pernah berpesan kepada para sahabat supaya mengenalkan orang-orang yahudi (yang mahu memeluk agama Islam) kepada Allah swt dahulu sebelum memberitahu mereka sembahyang lima waktu itu wajib.

Engkau akan datang pada suatu kaum Ahli Kitab. Kerana itu, hendaknya yang pertama-tama engkau serukan kepada mereka ialah beriman kepada Allah Azza wa Jalla. Apabila mereka telah mengenal Allah, maka beritahulah mereka bahawa Allah mewajibkan kepada mereka shalat lima waktu sehari semalam:Terjemahan Sahih Muslim Bk.1, 28 (1994).

Setelah ketiadaan para Sahabat, pada abad ketiga dan keempat Hijriah orang-orang yang mencari Allah swt telah mendampingkan diri mereka dengan tokoh-tokoh kerohanian yang mereka anggap “Arif-Billah” untuk mempelajari ilmu Tasawuf. Dr Abu Al Wafa Al Ghanimi Al Taftazani menulis:

Pada abad ketiga dan keempat Hijriyah … terdapat ramai perminat Tasawuf duduk berkumpul di sekeliling tokoh-tokoh tersebut dengan tujuan untuk memudahkan tokoh-tokoh itu mendidik murid-murid cara tertentu: Abu Al Wafa Al Ghanimi, Perkembangan Tasawwuf Islam, 19 (1996).

Dan di antara orang-orang yang Kami ciptakan ada umat yang memberi petunjuk dengan hak dan dengan yang hak itu (pula) mereka menjalankan keadilan. Al Araaf (7):181.

Berkenaan “Arif-Billah”, Syeikh Abdul Qadir Al Jilani ada menulis:

Orang dalam golongan ini mempunyai ilmu-ilmu ketuhanan dan tanda-tanda Allah. Hati mereka menjadi gedung ilmu Allah yang amat berharga dan orang itu akan diberi Allah rahsia-rahsia yang tidak diberinya kepada orang lain. Allah telah memilih mereka dan membawa mereka ke sisi-Nya. Hati mereka akan dilapangkan untuk menerima rahsia-rahsia ini dan ilmu-ilmu yang tinggi. Allah jadikan mereka itu pelaku dan lakuannya dan pengajak manusia kepada jalan Allah dan melarang membuat dosa dan maksiat. Jadilah mereka itu “orang-orang Allah”. Mereka mendapat bimbingan yang benar. Mereka boleh memberi pertolongan kepada orang-orang yang benar dan mengesahkan kebenaran orang lain. Mereka ibarat timbalan nabi-nabi dan rasul-rasul Allah. Mereka sentiasa mendapat taufik dan hidayah dari Allah Yang Maha Agung: Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, Pembukaan Kepada Yang Ghaib, 95 (1990).

Pada masa abad ketiga dan keempat Hijriah inilah penuntutan di dalam bidang ilmu Tasawuf berpecah menjadi dua haluan. Ahmad Sirhindi, seorang mujtahid Islam, menamakan Jalan Tasawuf yang awal sebagai (i) Tasawuf Jalan Nabi-nabi dan yang baru dinamakannya sebagai (ii) Tasawuf Jalan Wali-wali ataupun Tasawuf Tarikat. Beliau menulis:

Jalan Wali-wali berusaha kepada kesatuan dan dengan itu selalu berada dalam keadaan kemabukan.

Jalan Nabi-nabi kewujudan makhluk tetap terpelihara dan dengan ini mereka bersikap waras. Muhammad Abdul Haq Ansari, Sufism and Shariah, 211 (1986).

YAMAS

Yayasan Makrifatullah Sedunia (YAMAS) - Indonesia

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *