MAKRIFATULLAH (MENGENAL ALLAH SWT) 1

SIAPAKAH ALLAH SWT?
Di dalam terjemahan Al Quran keluaran Kerajaan Saudi Arabia telah dituliskan bahawa:

Allah ialah nama Dzat yang Maha Suci, yang berhak disembah dengan sebenar-benarnya. Al Fatihah (1):Notakaki 1.

(Dzat) yang demikian itulah Allah, Tuhan kamu maka sembahlah Dia. Yunos (10):3.

Maka (Dzat) yang demikian itulah Allah, Tuhan kamu yang sebenarnya, maka tidak ada sesudah itu melainkan kesesatan. Yunos (10):33.

Di dalam terjemahan Al Quran keluaran Pejabat Perdana Menteri Malaysia (Dato’ Hussein Onn) dituliskan:

Allah adalah nama khas bagi Dzat Tuhan Yang Wajibul Wujud. Al Fatihah (1): Notakaki 1.

Nabi Muhammad saw ada bersabda yang bermaksud:

Demi Dzat yang tiada Tuhan selain Dia. Terjemahan Sahih Muslim Bk.1, 95 (1994).

Sesungguhnya Allah itu Dzat yang Maha Indah. Terjemahan Sahih Muslim Bk. 4, 570 (1994).

Janganlah kita cuba mengkaji tentang Dzat kerana Allah swt tidak mewujudkan jalan untuk kita mengenali DzatNya. Sayidina Abu Bakar (ra) ada berkata yang bermaksud:

Maha Suci Dzat tidak mewujudkan jalan untuk mengenali-Nya. Abu Al Wafa Al Ghanimi A Taftazani, Perkembangan Tasawwuf Islam, 131 (1996).

Begitu juga Sayid Sabiq berpendapat bahawa Dzat adalah di luar kemampuan daya manusia. Beliau ada berkata:

Hakikat Dzat Tuhan tidak dapat diketahui, tidak akan dicapai cara pemecahannya dan tidak mungkin dapat diperoleh keputusan terakhirnya, sebab memang fikiran manusia ini tidak dapat mencakup sampai kepada persoalan itu. Mengapa demikian? Kerana sengaja manusia ini tidak diberi oleh Tuhan alat untuk mencapai tujuan tadi. Fikiran manusia dibatasi.Sayid Sabiq, Unsur-unsur Kekuatan dalam Islam, 13 (1988).

Hakikat Dzat Tuhan tidak dapat dilihat dan tidak dapat diketahui. Kerana fikiran manusia tidak dapat menjangkaunya dan manusia sama semasekali tidak diberi perangkat-perangkat untuk mengetahui-Nya.Sayid Sabiq, Unsur-unsur Kekuatan dalam Islam, 9 (1988).

Professor Abu Ahad Dawud menegaskan bahawa orang-orang kristian cuba mengkaji tentang Dzat dan akhirnya menyeleweng kepada konsep tritunggal kerana itu ulama khalaf dan salaf tidak mahu mengkaji tentang Dzat. Beliau berkata yang bermaksud:

Cawangan tritunggal daripada gereja kristian, dalam abad ke tujuh belas, telah memeras minda wali-wali dan ahli filasafah mereka untuk mencari istilah tentang Dzat dan Diri Tuhan; dan apa yang mereka ketemui?… kepercayaan Tuhan adalah satu daripada yang tiga… kerana itulah ulama Islam dahulu (khalaf) tidak mahu mengkaji tentang Dzat Tuhan. Abu Ahad Dawud, Muhammad in the Bible, 13 (1969).

Tambahan pula DzatNya sangat berkuasa justeru itu siapa terpandang akan DzatNya pasti binasa. Nabi Muhammad saw ada bersabda yang bermaksud:

Tirai-Nya adalah nur yang seandainya terangkat pasti keagungan Dzat-Nya akan membakar makhluk yang terpandang oleh-Nya. Terjemahan Sahih Muslim Bk.1, 228 (1994).

Allah swt ada berfirman yang bermaksud:

Dan tidak ada bagi seorang manusia pun bahawa Allah berkata-kata dengan dia kecuali dengan perantaraan wahyu atau di belakang tabir. Asy Syuura (42):51.

Bukan sahaja itu, Tirai Nur yang meniraikan DzatNya juga tidak kurang hebatnya. Malaikat Jibrail a.s. berkata bahawa ada 70 Tirai Nur yang meniraikan Dzat dan sekiranya dia mendekati Tirai Nur yang pertama sahaja, dia akan binasa. Al Hadis (Miskatul Masabih) Vol 4, 226 (1994).

Gunung juga hancur terkena Tirai Nur ini apatah lagi kita manusia. Allah swt ada berfirman yang bermaksud:

Tatkala Tuhannya menampakkan (Tirai yang menirai)  DiriNya kepada gunung itu, dijadikan gunung itu hancur luluh. Al Araaf (7):143.

Nabi Musa as jatuh pengsan apabila melihat tirai NurNya sahaja. Allah swt ada berfirman yang bermaksud:

Dan tatkala Musa datang untuk (munajat dengan Kami) pada waktu yang telah Kami tentukan dan Tuhan telah berfirman (langsung) kepadanya berkatalah Musa, “Ya Tuhanku, nampakkanlah (diri Engkau) kepadaku agar aku dapat melihat kepada Engkau.” Tuhan berfirman, “Kamu sekali-kali tidak sanggup melihat-Ku tetapi lihatlah ke bukit itu, maka jika ia tetap di tempatnya (sebagai sediakala) nescaya kamu dapat melihat-Ku.” Tatkala Tuhannya menampakkan (Tirai yang menirai) DiriNya kepada gunung itu, dijadikan gunung itu hancur luluh dan Musa pun jatuh pengsan. Al Araaf (7):143.

Kesimpulan, kerana DzatNya tidak dapat diketahui atau dilihat oleh kedua mata kita dengan itu, Allah swt tidak boleh dirupakan ataupun diumpamakan. Allah swt ada berfirman yang bermaksud:

Tidak ada sesuatupun yang serupa dengan Dia. Asy Syura (42):11.

Tidak ada seseorangpun yang setara dengan Dia. Al Iklas (112):4.

Dia tidak dapat dicapai oleh penglihatan mata. Al Anaam (6):103.

Sesungguhnya orang-orang yang takut kepada Tuhannya yang tidak nampak oleh mereka. Al  Mulk (67):12.

YAMAS

Yayasan Makrifatullah Sedunia (YAMAS) - Indonesia

You may also like...

3 Responses

  1. Subhanallah…syukron katsir kepada yang meng up load ilmu yang sangat bermanfaat ini semoga dibalasi Allah SWT berlipat ganda Amiiiin..

  2. Juga salam hormat buat tuan guru Hj Husein bin Abdul Latif semoga Allah SWT selalu melimpahkan rahmatnya kepada tuan guru

  3. jamaliah bachok says:

    Jazakumullahu khairan kathiran kepada tuan guru Hj Husein bin Abdul Latif dan pihak YAMAS yang bekerja keras segenap tenaga. Sungguh luar biasa semuanya.

Leave a Reply to Helfizon Assyafei Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *