MAKRIFATULLAH (MENGENAL ALLAH SWT) 2

PINTU MAKRIFATULLAH
Sebelum ada ciptaan, Allah swt sahaja yang ada. Nabi Muhammad (saw) ada bersabda yang bermaksud:

Pada permulaan Allah swt sahaja ada dan tiada apa pun ada sebelumNya. Translation of Sahih Al Bukhari, Vol. 9, 381 (1987)

Apabila Allah swt mahu menjadikan ciptaan kesemuanya, Dia hanya berfirman, “Jadilah” maka kesemua ciptaan terjadi.

Apabila Allah berkehendak menetapkan sesuatu maka Allah hanya cukup berkata kepadaNya, “Jadilah” lalu jadilah dia. Ali Imran (3):47; An Nahl (16):40.

Kalau Allah swt sahaja yang ada pada permulaan maka daripada sumber mana datangnya segala sesuatu? Kalau pada permulaan ada wujud yang lain selain Allah swt maka runtuhlah tauhid. Imran Hoesin ada berkata yang bermaksud:

Soalan ini masih janggal dan sangat rumit dan susah kerana: apakah hubungan di antara Pencipta dan ciptaan? Adakah Pencipta dan ciptaan wujud berasingan. Kalau ini benar, ia meruntuhkan tauhid kerana ada sesuatu yang wujud selain daripada Allah swt. Ataupun adakah kedua-duanya sama, ini pula akan memperkuatkan pantaisma/pantheism (melihat Allah  pada setiap ciptaan). Imran Hoesin, Islam and The Changing World Order, 9 (1991).

 

A) KEFAHAMAN WAHDATUL WUJUD

Mengikut kefahaman ini, apabila Allah swt berfirman,”Kun!”, Dia berfirman kepada diriNya sendiri. Maka kesemua ciptaan ( termasuk ruang dan masa) adalah sebenarnya Allah swt dalam penjelmaan atau manifestasi. Kerana itu mereka berkata, “Satu dalam ramai, ramai dalam Satu” ataupun Allah itu ciptaan dan ciptaan itu Allah. Sesudah mencapai pengenalan, matahati  mereka hanya nampak Allah di sebalik kesemua ciptaan. Ini juga bererti, bagi mereka hakikat kesemua ciptaan hanyalah Allah swt. Hamka menulis:

Allah itu hakikat Alam. Tidak ada di sana perbedaan di antara Wujud yang qadim yang digelari Khalik itu dengan wujud yang baru dan yang dinamai mahkluk. Tidak ada berbedaan Abid dan Ma’bud bahkan Abid dan Ma’bud adalah satu: Hamka, Perkembangan Tasauf Dari Abad Ke Abad, 157 (1976)

Dr Abu Al Wafa Al Ghanimi Al Taftazani menulis:

Wahdatul wujud tidak membezakan di antara manusia dengan Allah atau di antara alam dengan Allah:Abu Al Wafa Al Ghanimi, Perkembangan Tasawwuf Islam, 129 (1996).

Mengikut fahaman ini juga, menerusi riadah ataupun wirid atupun zikir, seseorang itu dapat bersatu dengan Allah (swt). Pencapaian kesatuan dengan Allah swt ini mereka ibaratkan seperti besi yang panas sudah menjadi api dan dengan itu tidak ada perbezaan di antara besi dan api.

Sebagaimana besi menghampiri api yang akhirnya besi yang sejuk itu memperolehi unsur membakar pada api. Besi telah berfungsi seperti api pula: Mohd Sulaiman Hj Yasin, Mengenal Ilmu Tasawuf 2, 150 (1992)

Syekh Yusuf Al Taj Al Makasari ada menulis:

Ketika itu jadilah Dia Yang Maha Haq, Yang Maha Suci dan Maha Tinggi: Syekh Yusuf Al Taj Al Makasari,Menyingkap Intisari Segala Rahsia, 99 (1996).

Justeru itu, terpancullah  daripada mulut mereka pengakuan mereka adalah Allah swt. Pernbuatan ini dinamakan “Syatahat”. Mereka berkata bahawa pengakuan ini terpancul daripada mulut mereka semasa mereka dalam keadaan kemabukkan. Contoh:

1. Mansur Al Hallaj berkata:

Akulah Al Haq: Zakaria Stapa, Tokoh Sufi dan Penyelewangan Akidah, 69 (1998).

2. Syeikh Siti Jenar berkata:

Siti Jenar tidak ada, yang ada hanyalah Tuhan yang Maha Esa.

Allah adalah aku sendiri.

MB Rahimsyah AR, Wali Songo Perjuangan dalam Dakwah Islam, 234-235 (2000).

3. Nasim Al Halabi berkata:

Akulah Tuhan: MB Rahimsyah AR, Wali Songo Perjuangan dalam Dakwah Islam, 235 (2000).

4. Abu Bakar Al Syibli berkata:

Yang ada dalam jubahku hanyalah Allah: MB Rahimsyah AR, Wali Songo Perjuangan dalam Dakwah Islam, 235 (2000).

5. Abu Yazid Al Bustami berkata:

Maha Suci aku, alangkah agungnya keadaanku: MB Rahimsyah AR, Wali Songo Perjuangan dalam Dakwah Islam, 235 (2000).

6. Abu Al Gais  ibn Jamil Al Yamani berkata:

Jadilah aku maha kuasa atas segala sesuatu: MB Rahimsyah AR, Wali Songo Perjuangan dalam Dakwah Islam, 235 (2000).

Ahmad Sirhindi berkata bahawa dalam usaha mereka untuk mencapai taraf/makam kesatuan dengan Allah swt, mereka selalu berada dalam keadaan kemabukkan:

Jalan Wali-wali berusaha kepada kesatuan dan dengan itu selalu berada dalam keadaan kemabukan:Muhammad Abdul Haq Ansari, Sufism and Shariah, 211 (1986).

Kerana Mursyid ataupun Syeikh boleh bersatu dengan Allah (swt) justeru itu menjadi Allah swt maka ada Tarikat Tasawuf mempraktiskan mewajahkan muka Mursyid ataupun Syeikh mereka semasa beribadah termasuk sembahyang. Amalan ini dinamakan “ Rabitah.”

Membayangkan/ menggambarkan rupa shaikh/ guru ini di kalangan para shaikh (yang memimpin) suluk merupakan amalan yang paling penting sekali: Muhammad Zakariyya Al Kandahlawi, Al Syari’ah Wa Al Tariqah, 162  (1339 H.); Jahid Sidek, Shaikh dalam Ilmu Tariqah, 260(1997).

Dengan mewajahkan Mursyid ataupun Syeikh mereka (yang sudah menjadi Allah swt) dalam ibadah termasuk sembahyang mereka, mereka seolah-olah melihat Allah swt dalam ibadah ataupun sembahyang mereka itu. Dengan ini, mereka dapat beribadah ataupun sembahyang di peringkat “Ihsan”. Tentang “ihsan” yang Rasulullah (saw) ada bersabda yang bermaksud:

Hendaklah kamu sembahyang seolah-olah kamu melihat Allah, kalau tidak ketahuilah Dia melihat kamu:Terjemahan Sunan At Tirmidzi Bk.4, 237 (1993)

Ada juga yang menerangkan bahawa amalan rabitah ialah apabila seseorang itu beribadah ataupun bersembahyang merabitahkan gurunya dan gurunya pula merabitahkan gurunya dan seterusnya sehingga ke Rasulullah (saw) dan kerana Rasulullah (saw) melihat Allah swt pada masa miraj dengan itu mereka sembahyang seolah-olah melihat Allah swt: M Zain Abdullah, Tasawuf Dan Zikir,89 (1995).

YAMAS

Yayasan Makrifatullah Sedunia (YAMAS) - Indonesia

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *