ISTILAH DAN SEJARAH (5)

Oleh: Ust. Hj. Hussien Bin Abdul Latiff

iii. Baiat

Murid itu mestilah berjanji setia kepada mursyid atau syeikh atau guru Tarikat itu. Janji setia ini di panggil Baiat. Ikrar ini diambil sambil berjabat tangan ataupun memegang hujung tasbih ataupun sal/kain ataupun dengan lain-lain cara di antara mursyid atau syeikh atau guru Tarikat itu. Prof Aboebakar Atjeh telah juga menulis:

Melakukan sumpah setia … kepada gurunya: Aboebakar Atjeh, Pengantar Sejarah Sufi dan Tasauf, 49 (1977).

iv. Latihan

Setelah itu, mursyid atau syeikh atau guru Tarikat itu akan memberi amalan tertentu untuk di amalkan dibawah bimbingan mereka. Prof Aboebakar Atjeh telah menulis:

Syeikh atau mursyid… memberi pertunjuk mengenai riadah-riadah atau latihan dalam melakukan zikir dan wirid: Aboebakar Atjeh, Pengantar Sejarah Sufi dan Tasauf, 49 (1977).

Kebanyakan Tasawuf Tarikat mempunyai 3 taraf zikir. Taraf zikir yang paling rendah ialah zikir secara lisan. Daripada situ, zikir itu akan meresap ke qalbu murid itu dan dengan itu dia akan berzikir dengan zikir qalbu. Akhir sekali zikir qalbu ini akan meresap ke minda mereka dan menjadi zikir sirr.

Ada Tarikat mempunyai zikir-zikir atau cara zikir tertentu, baik merupakan zikir yang berbunyi yang mereka namakan zikir lisan, maupun yang hanya diucapkan di dalam hati, yang dinamakan zikir qalb, maupun yang diingat secara langsung, yang mereka namakan zikir sirr: Aboebakar Atjeh, Pengantar Sejarah Sufi dan Tasauf, 50 (1977).

v.  Diam & Menunggu

Apabila zikir sirr mereka tidak berbunyi lagi di dalam minda mereka maka hendaklah murid itu berdiam sahaja serta bersabar menunggu turunnya ilham yang membawa kepada pencapaian kepada Makrifatullah. Imam Ghazali ada menulis:

Bagi anda diperkenankan berusaha sampai pada batas-batas itu sahaja dan setelah itu anda tidak diperkenankan berusaha kecuali dalam hal menolak gangguan-gangguan yang menyimpangkan. Setelah usaha anda terbatas pada keadaan tersebut  maka bagi anda tinggal menanti “terbukanya hati” yang mana macam ini juga dinampakkan kepada para wali Allah: Imam Ghazali, Timbangan Amal, 52 (1983).

vi. Pencapaian

Marilah kita lihat contoh mereka yang mencapai Makrifatullah secara sebegini:

Syaikh Moulay Al Arabi Ad Darqawi – Beliau telah menerima daripada Gurunya zikir “Allah”. Beliau dikehendaki apabila berzikir mengadakan kalimah “Allah” itu di dalam minda beliau. Beliau telah menjalankan riadah ini selama sebulan dan beberapa hari, apabila beliau diilhamkan, “Aku yang Awal dan yang Akhir; Aku yang Zahir dan yang Batin.” Walaupun beliau tidak menghindarkan ilham itu tetapi ia mendesak. Kerana tidak tertahan dengan desakkan itu maka beliau menjawab bahawa beliau faham Dia yang Awal, yang Akhir  dan yang Batin tetapi beliau tidak faham Dia yang Zahir kerana apa yang beliau lihat yang zahir adalah benda-benda yang berbentuk. Maka datang pula ilham kepada beliau bahawa yang dimaksudkan ialah yang terzahir iaitu Yang Batin terkeluar bukan dimaksudkan yang diluar. Serta merta beliau faham maksud ayat itu dan dengan itu beliau berjaya mencapai Makrifatullah. Beliau mencapai Makrifatullah setelah menunggu sebulan dan beberapa hari: Martin Lings, A Sufi Saint of the Twentieth Century, 85 (1973); Abd Qadir Al Sufi, The Way of Muhammad, 169-179 (1997).

vii. Ijazah:

Setelah si-murid itu mencapai Makrifatullah maka Mursyidnya akan menyampaikan kepadanya segulung ijazah. Murid itu juga akan diberi Silsilah (Salasilah) bersama Khirqah (secebih kain atau tulisan berkenaan cara-cara riadah atau zikir atau wirid). Prof Aboebakar Atjeh ada menulis:

Apabila seorang murid itu sudah dianggap lulus daripada latihan-latihan Tarikat itu, maka oleh gurunya diserahkanlah kepadanya semacam surat keterangan, ijazah namanya, begitu juga sebuah silsilah bersama dengan khirqah, ada yang berupa sepotong pakaian, khirqatul tabarruk, maupun berupa keterangan mengenai wirid dan wazifah, khirqatul wirid : Aboebakar Atjeh, Pengantar Sejarah Sufi dan Tasauf, 50 (1977).

viii. Talqin:

Upacara perpisahan ataupun Talqin akan diadakan oleh guru murid itu. Dengan upacara ini, Si murid pun dibebaskan oleh gurunya dengan beberapa nasihat ataupun wasiat. Syeikh Abdul Qadir Al Jilani ada menulis:

Apabila seorang murid mencapai keadaan kerohanian yang ada pada gurunya maka dia disuruh menceraikan dirinya dari gurunya. Dengan lain perkataan, dia sekarang telah setaraf dengan guru. Murid itu pun tercerai dari guru itu dan Allah sahaja menjadi penjaganya dan Allah akan menceraikan dia dari segala makhluk: Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, Pembukaan Kepada Yang Ghaib, 51 (1990).

Prof Aboebakar Atjeh ada menulis:

Dalam suatu peringatan perpisahan, yang dinamakan talqin, guru itu memberi wasiat dan nasihat yang menjadi pegangan bagi murid itu untuk selama-lamanya: Aboebakar Atjeh, Pengantar Sejarah Sufi dan Tasauf, 50 (1977).

Namun begitu hanya sedikit dalam Jalan ini berupaya mencapai Makrifatullah, banyak yang tidak kesampaian. Shaykh Ahmad Sirhindi menulis:

Sedikit yang dapat kejayaan cara ini … cara ini adalah lambat serta ramai terbengkalai di perjalanan:Muhammad Abdul Haq Ansari, Syariah and Sufism, 214 (1986).

Ramai dalam perjalanan Tasawuf Tarikat hanya memperolehi amalan zikir sahaja walaupun sudah bertahun-tahun dalam penuntutan ini. Shaikh Ahmad Al Alawi pernah di Tanya bekenaan ini:

 

Soalan: Adakah kesemua mereka berjaya (mencapai makrifatullah)?

Jawapan: Tidak, hanya sedikit sahaja yang berjaya. Hanya sedikit yang mampu mencapainya.

Soalan: Bagaimana pula bagi ramai yang tidak berjaya. Tidakkah mereka berputus asa?

Jawapan: Tidak, dengan berzikir mereka akan mendapat  ketenteraman:

Martin Ling, A Sufi Saint of the Twentieth Century, 22 (1973).

Daripada jumlah yang banyak yang masih belum mencapai Makrifatullah ramai juga terjerumus ke dalam alam khayalan kerana terlampau lama menunggu dan tidak tahu apa yang ditunggu. Kebanyakan menunggu kewalian bukan kemakrifatan. Mereka menunggu sesuatu keajaiban, keanihan ataupun keluar-biasaan bukan menunggu kepada pengenalan kepada Allah swt yang mendatang kearifan. Ini yang membuat Imam Ghazali menulis:

Di tengah-tengah perjuangan ini, kadang-kadang tabiat menjadi rosak, akal menjadi kacau dan badanpun sakit. Apabila latihan dan pendidikan nafsu tidak mendahului datangnya hakikat segala ilmu, maka akan maharajalela di hati khayalan-khayalan yang merosakkan, di mana nafsu akan puas dengan khayalan-khayalan tadi pada masa yang lama sehingga habislah umurnya padahal apa yang dikhayalkan itu belum pula diperoleh.

Banyak orang-orang sufi yang menempuh jalan ini, kemudian ia sentiasa berada pada satu khayalan dalam masa 20 tahun. Dan apabila dari dulunya ia sudah mempunyai suatu ilmu yang kukuh tentu terbukalah baginya segi kepalsuan khayalan tadi seketika.

Imam Ghazali, Keajaiban Hati, 47 (1979).

YAMAS

Yayasan Makrifatullah Sedunia (YAMAS) - Indonesia

You may also like...

1 Response

  1. jamaliah bachok says:

    syukran jazilan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *