YAMAS : HAKIKAT DISEBALIK KATA

*Artikel ini adalah tulisan dari seorang pembelajar tasawuf*

**

YAMAS : HAKIKAT DISEBALIK KATA

“Kami akan perlihatkan kepada mereka tanda-tanda (kebesaran) kami di segenap tempat dan penjuru jagat raya ini dan pada diri mereka sendiri…”  (Fusillat 41:53)

I
Bismillahhirrahmannirrahim dipohon barkat
Bersama jari sepuluh disusun diangkat
Kerana cuba menafsir ‘kata mutasyabihat’ – YAMAS
Oleh sang kerdil yang nol kudrat dan bakat
Tapi kalau ilham sudah disurat
Tidaklah dapat disekat dan diikat
Lalu naik ke atas mohon izin dan hidayat
Agar tercurah reda dan rahmat
Mungkin ianya memberikan hikmat

Sedar atau tidaknya manusia
Hidup ini dikelilingi ‘tanda-tanda’
Mungkin dia berbunyi atau visual bentuknya
Mungkin dia konkrit atau abstrak sifatnya
Mungkin dia tersurat atau tersirat maknanya
Mungkin dia berbau atau hanya dapat dipegang rasa
Atau dia mungkin, dan mungkin apa saja tanda-tanda

Terpapar jelas di segenap ruang jagat raya
Malah di dalam diri manusia’ (41:53)
Yang dapat diserap dan dicerap oleh panca indera
Dirubah menjadi ayat-ayat oleh minda hati manusia
Lalu dibaca dan difahami mesejnya

Berinteraksi dan bergeraklah manusia
Mengikut faham dan tafsirannya
Untuk kelangsungan hidup dan kehidupan mereka
Kejayaan dunia dan akhirat sudah pasti dipinta

Maklumat dan ilmu pengetahuan perlu disedia
Itulah ‘sistem tanda’ pemberian Yang Maha Esa
Untuk dibaca dan difahami, dihayati dan dilakoni
Pengakhir tuju ke jalan lurus kepada Yang Maha Esa.

II
“Dari titik menjadi garis
Dari garis menjadi huruf
Dari huruf membentuk bunyi
Dari bunyi membentuk kata
Dari kata menjadi ayat
Dari ayat menjadi surah
Keseluruhan surah membentuk Furqan”
Itulah asal kejadian yang dikitabkan.

“Dan setiap huruf yang diungkapkan
Diberikan satu ganjaran
Hingga melipat ganda menjadi sepuluh kebaikan”
Sabda Junjungan Nabi Muhammad SAW

Lalu bagaimana kalau setiap huruf dapat ditafsirkan?
Melewati ilmu huruf dan perangkaan
Harmoni dari belbagai ilmu perguruan
Untuk dilihat-faham hakikat yang terbenam
Dari Ilmu Allah maha luas tidak terjangkau dek tangan
Pada seluruh manusia, sebesar zaharah pada tujuh lautan
Itulah perbandingan (2:32, 18:109, 31:27)
Namun manusia terus dianugerahkan ilham
Meneroka mencari kebenaran
Bila kebenaran datang ada yang sujud tersembam
Maka jangan sombong ‘pemilik’ ilmu pengetahuan!

III
YAMAS, disudut bahasa dan praktis dicarinya erti
“Kegembiraan yang Menyenangkan hati’
Maksudnya dalam bahasa Greek yang diberi.

Amalan Yoga juga punya maksud tersendiri
Mencapai ‘kesempurnaan’ membentuk sifat peribadi
“Aman damai, kebenaran, mengawal nafsu dan diri
Kesucian, belas kasihan, pemaaf dan kesabaran tinggi
Kejujuran dan bersukat pada pemakanan sehari-hari
Berpada-pada tidak lebih hanya sekadar keperluan diri.”

YAMAS disudut itu, perlu diungkap dalam sebutan menyatu
Terpisah ia tidak akan memberi makna yang begitu
Makna selapis yang terhenti dan kaku
Kosong sifatnya tidak naik untuk ingat pada yang Satu!

IV
Lalu dalam kaji yang ingin dikupas
YAMAS dibentuk dari dua bunyi yang bebas
YA dan MAS.
Singkatan kepada Yayasan Makrifatullah Sedunia
Pusatnya di Semarang, Jawa Tengah Indonesia
Terbentuk secara rasmi pada 31/10 di Jakarta.

Gabungan huruf ya ( ي ) dan alif ( ا ) jadilah YA ( يا )
YA ( يا ) ungkapan biasa, menyeru pada nama
Biasa dirujuk dan diucap kepada Yang Maha Esa
Ya Allah, Ya Rahman, Ya Rahim dan kepada 99 nama Nya.

YA ( يا ) juga kata akuan dari diri untuk persetujuan
Atas kebenaran dan kepastian
“Bukankah Aku ini Tuhan mu” Allah berfirman
“Ya, benar, [betul Engkau Tuhan Kami] kami saksikan”
Roh mereka memberi jawapan pengakuan (7:172)
Agar di kemudian hari mereka tidak menyoal Tuhan
Tentang kebenaran dan kepastian.

Gabungan huruf ya (ي ) dan alif (ا ) jadilah YA ( يا )
Ya (ي ), menjadi lambang kepada bunyi YA ( يا )
Alif ( ا ) lambang sebutan Allah, Maha Pencipta
Lalu Y (ي ) dan A ( ا ) itu sendiri sudah jadi sebutan Ya Allah
Hakikatnya, bunyi YA dan sebutan Ya Allah
Tersirat erti disebalik huruf dan bunyi yang tersurat
Kita bukan sekadar menyeru lembut dalam meminta (ي )
Bahkan mengaku bertuhankan Allah Yang Maha Esa ( ا )
Sekali gus patuh pada perintah dan peraturan Nya
Inilah kunci pengertian pada kata sebutan YA (Ya Allah)

YA ( يا ) tanda pengakuan kepada betul dan benar
Dibalikkannya jadilah IA ( اي ) pada erti yang tidak samar
Erti dan pengertian dasar – betul dan benar

Pada penerokaan hakikat, huruf ي ا menjadi kaji tanda
Huruf vokal yang perlu ada pada setiap eja kata
‘Huruf hidup’ yang berfungsi memberi suara
Alif ( ا ) mengawali 29 huruf Arab yang dibaca
Ya (ي ) pengakhir huruf daripada 29 semuanya
Maka dari kaji tanda dan baca, Alif (ا ) dan Ya ( ي)
:
“Dia yang Awal, Dia yang Akhir”, pada segala ciptaan Nya
Sebagai vokal, Dia menghidupkan segala yang ada
“Menghidupkan dan mematikan”
Dari Dia datangnya, kepada Dia kembalinya semua”
Kerana “Dia Tidak Berawal dan Tidak Ada Akhirnya”
Bentuk dan sifat, gerak dan diam dari ‘sedikit Zat Nya’ yang ada
Dengan izin dan redanya
Ibarat bateri pada robot yang memberi fungsi segala-gala
Sedikit Zat Nya sebagai “bateri” tetap kekal selamanya
Hingga kembali menyatu pada Zat Maha Besar lagi Indah
“Ibarat air dan air batu” keduanya tidak terpisah
Hilang bentuk kembali air ke air jua
Usul dan hujah dari AB Ustaz yang menyampaikannya.

V
Diterusakan bicara kaji tanda
YA (ا ي ) pendekan kata dari SAYA ( س ا ي ا)
Gabungan bunyi huruf SA ( سا ) dan YA ( يا ) jadilah SAYA
Sebagai ganti diri yang ampunya nama, SAYA ( سا يا )
Dirujuk juga sebagai akuan benar dan terima.

SA ( سا ), pada sesetengah kata bererti satu dan tunggal
YA ( يا) pula sebagai yang sudah dihuraikan di awal,
Maka maksud dan hakikat SA-YA ( سا يا )
“Satu dan Tunggal, Ya benar Dialah Tuhan kami, Allah”
Zat Yang Maha Besar lagi Indah
Inilah fitrah yang ada pada setiap diri manusia !

Begitu juga kata AKU ( ا ك و )
Dan ANA ( ا ن ا ) dalam bahasa Arabnya
Dikaji orang untuk melihat makna disebalik tanda
“Pada diri mereka sendiri…” (41:53)
AKU ( اكو ) dibaca sebagai “Aku Kekal Wujud”
ANA ( انا ) sebagai ‘Ana Naam Al-Haq’

Tanda dan baca makna pada kata-kata
SAYA, AKU dan ANA
Telah menjadi silap fikir pada sesetengah mereka
‘Akulah Allah! ” kata mereka, Nauzubillah !
Bagi yang mengerti pasti menolaknya
Mana bisa ciptaan menjadi Allah
Kerja gila! Kerana ada yang menolak syariat agama.

Apa yang ada hanyalah sedikit Zat Nya
Bagaikan bateri yang mengerakkan semuanya
Kekal abadi tidak terpisah dan Maha segala-gala
Hingga kembali menyatu pada Zat yang Maha Esa,

Hakikatnya, SAYA, AKU dan ANA itu
SAYA – “Tunggal dan Satu. Ya benar, Allah itu Aku, Tuhan mu”
“Yang menyaksi dan disaksikan” (85:3), Aku jua!
AKU – “Aku (Zat Nya) Kekal Wujud
ANA – “Aku (Zat Nya). Ya, yang Hak dan Benar”
(Zat yang ‘sedikit’ di diri manusia)

SAYA, AKU dan ANA pada manusia hanya ‘penzahiran’ sahaja
Dirujuk pada manusia tidak ada erti apa-apa
Kosong belaka kerana manusia tidak wujud sebenarnya
SAYA, AKU dan ANA hanya pada DIA yang maha segala-gala
Manusia sekadar diizinkan pakai buat sementara
Tapi manusia memang tidak punya malu
Diberi pinjam, terus mahu milik semuanya !

Al-Quran menukilkan
“AKU sentiasa bersama mu di mana kamu berada (2:186; 57:4)
AKU dekat, lebih dekat dari urat leher mu (50:16; 56:85)
Agar manusia selalu sedar dan ingat kewujudan KU”
Melalui tanda dibaca pada SAYA, AKU dan ANA
Ganti nama dipinjamkan kepada manusia untuk mengenali KU
Lalu jangan gunakan SAYA, AKU dan ANA
Untuk apa-apa kesombongan dalam segala laku

Hakikatnya manusia tidak ada
SAYA, AKU ada ANA adalah AKU bukan manusia
Lalu dibacakan mantik orang-orang tua

“Allah, Zat Yang Maha Esa
Maha Besar, Maha Hidup dan Maha segala-gala
Dari Zat (yang sedikit) menjadi titik
Dari setitik menjadi segumpal
Dari segumpal meraut bentuk
Dari bentuk menjadi sifat
Berbentuk bertubuh bernama
Mengerak rasa berpelakuan
Dari Absam ke alam Syahadah
Dari merangkak, menatih-berlari
Dari alam ke alam dan akhirnya
Segala bentuk dan sifat binasa
Yang kekal Zat Nya saja

Mana perginya manusia?
Lebur binasa! Habuk pun tiada
Itulah antara rahsia hakikatnya diri
Antara rahsia akbar, rahsia dalam rahsia yang dikaji
Yang tersembunyi dipenzahiran diri ini
Yang zahir tapi tersembunyi disebalik tirai-tirai diri
Tak perlu susah payah merantau mencari serata negeri
Lihat sahaja ke dalam diri sendiri
“Kenal diri kenallah Allah
Tidak ada satu yang serupa dengan Nya
Awal agama itu mengenali Allah.”
Sudah kenal, lahir nikmat dan lazat dalam ibadah
Lalu karam dan leburlah !

VI
Bicara YA agak panjang sudah
Menyangkut SAYA, AKU dan ANA
Abstrak sifatnya, fikiran boleh jadi payah
Serah saja pada Dia agar diberi Nya mudah.

YA, dipakai disebut oleh setiap manusia
Merentasi negara, bangsa dan budaya
Dalam pelbagai sebutan dengan bunyi berbeza
Namun ertinya masih tetap sama

YA abstrak sifatnya
Semacam simbol H2O yang ditulis baca
Difahami oleh yang mengerti dan berilmu sahaja
Tapi bila dilihat sebotol aqua diminum tetmu
Nama dan sifat cecair itu pasti semua orang tahu
Itulah air sifatnya konkrit selalu
Namun masih lagi beza pada sebutan dan bunyinya
Dibatasi oleh bahasa puak, suku dan bangsa
Bagi pengertian yang sama saja

VII
MAS, bunyi kedua dari YAMAS
Sifat konkritnya dapat dilihat dipegang kemas
Logam berharga membuat manusia sering cemas
Cemas dan lemas untuk mendapatnya agar tidak terlepas
Hampir semua manusia mahukan mas
Cara batil mahu pun secara ikhlas
Berebut dan menginjak sesama sendiri kerana mas
Tapi tidak semua diberikan rezki memilikinya
Mas ‘dicairkan’ bisa beli apa saja harta
Simbul kekayaan ibarat Qarun yang dibenamkan
Sombong mengaku dari usahanya bukan dari Tuhan.

Perhiasan untuk wanita yang para lelaki diharamkan
‘Mas Kahwin’ satu yang berharga dalam pernikahan
Sandaran matawang, rakyat tetap miskin gelandangan
Mas juga dikatakan perlu untuk perubatan dan peralatan
Malah matinya Si Pitung kerana peluru mas dilaras senapang
Peribahasa ‘anak mas’ anak yang ditatang-tatang
Waktu itu bagaikan mas dari satu perumpamaan.

Mas pada suku Jawa jadi istimewa pada satu-satu gelaran
panggilan kepada adik beradik tertua yang menjadi abang
Panggilan manja isteri kepada suami yang tersayang
Atau panggilan untuk tujuan penghormatan
”Makan minum dilarang dari bejana-piring emas perak”
Pesan Rasulullah yang tidak begitu menggalak
Itulah antara ketinggian dan istimewa nilainya MAS
Perlu diberikan kedudukan tinggi dan teratas

Lalu MAS itu apa?
Satu benda berharga yang perlu dicari dan dijaga
Dipegang kuat jangan sesekali alpa
Agar hidup jadi ‘kaya’, ‘kaya’ berlandaskan syariat
Sentiasa dapat syafaat, keredaan, rahmat dan berkat
Darjat bisa naik lantaran emas yang didapat.

Maka, dalam konteks tanda baca
MAS itu pastinya ilmu – ilmu Makrifatullah
Mengenal akan Tuhannya
Selaras dengan kata YA
“Mengaku benar, Ya bahawa Kau Tuhan kami.”
Sekadar mengaku tapi tidak mengenali
Hidup jadilah cuma-cumaan tanpa kemudi.

YAMAS
Dikaji dilihat dari tanda huruf, bunyi dan kata
“Aku mengaku, Ya benar bahawa Engkau Tuhan kami
Pasti akan kami patuhi segala perintah Mu
Kau yang awal tidak berawal
Kau yang akhir tidak berakhir
Yang menghidupkan dan mematikan
Berusaha mencari dan menghayati ilmu mengenali mu
Sesungguhnya Kau dekat dengan diri kami
Akan kami jaga Makrifat ini kerana nilainya maha tinggi
Biar pun ribut fitnah membadai kami
Kami tetap tidak akan melangkah ke belakang lagi.”

Itulah YAMAS, kalau tafsirnya mahu diterima
Melewati tanda huruf menjadi ayat yang dibaca.

VIII
Akhirnya, nota bicara ini
Khusus pada tanda dan kata bahasa Melayu bertulis Jawi
Dari bangsa Melayu yang pernah menguasai
Dunia Melayu, hampir meliputi satu pertiga kawasan dunia ini
‘Bangsa Jawi’ dikatakan hilang yang sedang dijejaki
Dikaji untuk dilihat pertalian melalui DNA
Konon waris keturunan Nabi Ibrahim dan Nuh AS, Wallahualam
Menetap disebidang tanah di hujung Dunia
Semenanjung Emas namanya
Diwasiatkan Nabi agar sahabat kembara mencari “Bumi Jawi”
Lalu bertali arus para mubaliq datang ke mari
Kerana di situ tetap tertegak Hak dan Tauhid Ilahi.

Bangsa terkenal mahir bina bahtera dan pelaut handalan
Konon ilmu kemahiran warisan Nabi Nuh AS
Panglima Awang pengeliling Dunia Awal bukan Magallan
Nama dan kejayaannya telah dipadamkan.

Bahasanya seni penuh tesirat tamsil ibarat dan kesufian
Antaranya sebagai misalan
“Ikut rasmi padi, semakin tunduk semakin berisi
Bukannya lalang, tinggi menjulang, ikut arah angin mendatang
Kail sejengkal jangan laut mahu diduga
Ke bukit sama didaki, ke lurah sama dituruni
Berat sama dipikul, rengan sama dijinjing
Yang kurik itu kundi, Yang merah itu saga
Yang cantik itu budi, Yang indah itu bahasa.”

Dibawa belayar si pisang emas
Masaknya ranum di atas tahta
Tegap dan mantap tujuannya YAMAS
Allah membantu perjalanan kita

InsyaAllah
Wallahualam.

Naim Haji Ahmad, amfg
Shah Alam, Selangor 7 Disember 2015.

YAMAS

Yayasan Makrifatullah Sedunia (YAMAS) - Indonesia

You may also like...

3 Responses

  1. Saiful Mahdi says:

    Subhanaallah

  2. hisyam says:

    Sangat lah indah untuk diucapkan
    Hingga mulutpun tak bisa berucap
    Hanya tetesan air mata yg mengalir
    Bila telah mengerti.

    Terimakasih,atas penjelasannya.
    Salam kenal.
    Meskipun bingung tuk memahami,biarlah sang pemberi pengertian yg memahamkan.
    Cukuplah hanya ingat saja.
    Matur sembahnuwun.
    M.N.Hisyam/081901157967,085225325567

  3. sungguh indah penyusunan bahasa tuan yg ilhamnya udah tentu daripada Yang maha Esa

Leave a Reply to hisyam Cancel reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *