SESUDAH MAKRIFATULLAH – PENYERAHAN 1

Rencana Allah swt menerusi ujian-ujian untuk mengenalpasti baka-baka yang istimewa yang dapat menerajui tempat-tempat Khalifah-Khalifah Allah swt di hari muka sudah menjadi ketetapan yang muktamad. Allah swt ada berfirman yang bermaksud:

Sesungguhnya rencana-Ku amatlah teguh.[1]

Kamu sekali-kali tiada akan mendapati perubahan pada sunnah Allah.[2]

RencanaNya yang sudahpun dilakarkanNya adalah untuk membuktikan (di hari muka) kepada Iblis dan sekutu-sekutunya bahawa keputusanNya melantik manusia menjadi KhalifahNya adalah satu keputusan yang berhikmah lagi bijaksana dan dengan itu, Dia-lah Yang Maha Bijaksana.

Allah mengatur urusan (makhluk-Nya). [3]

Tidak ada bagi penduduk langit dan bumi pengurus selain daripadaNya dan Dia tidak menjadikan sesiapapun masuk campur dalam hukumNya.[4]

Dan tiadalah Kami menciptakan langit dan bumi serta segala yang ada di antara keduanya sebagai ciptaan yang tidak mengandungi hikmah dan keadilan; yang demikian adalah sangkaan orang-orang yang kafir! Maka kecelakaanlah bagi orang-orang yang kafir itu dari azab Neraka.[5]

Sehubungan dengan itu, Allah swt mengizinkan Iblis hidup hingga ke akhir zaman. Di sini kita lihat bagaimana Maha Penyabarnya Allah swt dan KetulusanNya untuk memberi kesedaran kepada Iblis dan sekutu-kutunya tentang kesilapan mereka. Walaupun Dia boleh menghukum mereka serta merta kerana kebiadaban mereka tetapi Dia tidak berbuat begitu.

Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Penyabar.[6]

Allah Maha Pengampun, lagi Maha Penyabar.[7]

RencanaNya tidak berubah kerana ianya datang daripada Loh MahfuzNya yang sempurna lagi tidak ada sedikit pun kecacatan. Ini adalah kerana Loh Mahfuz itu diciptakan oleh Allah Yang Maha Bijaksana lagi Maha Mengetahui. Justeru itu kesemua ketetapanNya (termasuk Qadha dan Qadar kita) adalah tetap dan tidak akan ada perubahan.

Sesungguhnya Engkau jualah Yang Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana.[8]

Engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang perubahan bagi “Sunnatullah” dan engkau tidak sekali-kali akan mendapati sebarang penukaran bagi perjalanan “Sunnatullah” itu.[9]

Maka hendaklah kita menyerah sepenuhnya kepada Qadha dan Qadar kita yang sudah dilakarkanNya dengan sempurna di dalam Loh MahfuzNya semasa Dia berfirman, “Kun!”.

Hai orang-orang yang beriman masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya.[10]

Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu[11]

Orang-orang itu akan memperolehi bahagian yang telah ditentukan untuknya dalam kitab (Loh Mahfuz).[12]

Lihatlah pandangan Syeikh Abdul Qadir Al Jilani berkenaan ini:

Pakailah Islam dan kemudian menyerah terus kepada takdir Allah.[13]

Orang-orang yang benar-benar hamba Allah percaya kepada Allah dan menyerahkan semua hal dirinya kepada Allah.[14]

Kamu hendaklah berserah dan bertawakkal sepenuhnya kepada Allah dalam segala hal.[15]

Penerimaan dan penyerahan kepada Qadha dan Qadar kita dengan sepenuhnya tidak ada tolak ansurnya kerana ini sudah menjadi rukun ke enam dalam Rukun Iman. Justeru itu, sesiapa yang menolak Qadha dan Qadar masih belum beriman.

Hendaklah engkau beriman kepada Allah, kepada malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para utusan-Nya, dan Hari Akhir (kiamat) serta beriman kepada takdir dan buruknya takdir. [16]

Seandainya salah seorang di antara mereka mempunyai emas segunung Uhud yang dia nafkahkan maka Allah tidak bakal menerimanya sebelum dia beriman kepada takdir. [17]

Manusia langsung tidak berfikir atau bersusah hati sekiranya esok matahari ataupun bulan tidak terbit dengan itu akan berlaku bencana yang besar kepada dunia. Ini adalah kerana urusan mereka ini sudah kita serahkan sepenuhnya kepada Ilahi justeru itu kita tidak memeraskan minda kita setiap hari untuk berfikir tentangnya.

Dialah (Tuhan) yang telah menjadikan malam dan siang, serta matahari dan bulan; tiap-tiap satunya beredar terapung-apung di tempat edaran masing-masing (di angkasa lepas).[18]

Kalau kita boleh menyerah pengurusan kesemua ciptaan kepada Allah swt maka kenapa kita tidak boleh berbuat begitu kepada kehidupan kita sendiri. Mengapa kita mengecualikan diri kita? Kenapa kita mesti menyusahkan minda kita apabila segala urusan hidup kita sudah Allah swt lakarkanNya di dalam Loh MahfuzNya dan tidak satu pun Dia lupakan? Justeru itu Dia-lah yang sebenarnya mengurus hidup kita. Kerana itu Allah swt berfirman yang bermaksud:

Sebenarnya segala urusan itu adalah kepunyaan Allah.[19]

Dia Yang Hidup Kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya).[20]

Katakanlah, “Semuanya  dari sisi Allah”. Mengapa orang-orang itu hampir tidak memahami perbicaraan sedikitpun?[21]

Setiap waktu Dia dalam kesibukan.[22]

Tidaklah Kami alpakan sesuatupun di dalam al Kitab.[23]

Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.[24]

Malahan kita tidak ada pilihan sama ada kita hendak hidup esok hari ataupun tidak. Kalau keesokan hari kita dibangunkan maka kita terpaksa mengharungi hidup ini sehari lagi. Kalau keesokkan kita meninggal dunia maka banyak perkara yang kita mahu membuatnya tertinggal begitu sahaja..

Manusia dan mahkluk itulah yang tertaluk kepada Allah dan Allah tidak tertaluk kepada mereka.[25]

Dan Dialah yang menidurkan kamu di malam hari  … kemudian membangunkan kamu pada siang hari untuk sempurnakan umur(mu) yang telah ditentukan.[26]

Allah memegang jiwa (orang) ketika matinya dan (memegang) jiwa (orang) yang belum mati di waktu tidurnya.[27]

Pendekkata apa jua kita buat mestilah dengan izinNya yang sudah pun terlakar di dalam Loh MahfuzNya. Hingga hendak mati juga perlu akan izinNya. Allah swt ada berfirman yang bermaksud:

Tidak ada suatu mushibah yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah.[28]

Dan jangan sekali-kali kamu mengatakan terhadap sesuatu, “Sesungguhnya aku akan mengerjakan itu besok pagi., kecuali dengan menyebut, “Insya-Allah”.[29]

Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya.[30]

Kamu membunuh mereka dengan izin-Nya.[31]

Maka biarkan Qadha dan Qadar berjalan mengikut apa yang sudah ditetapkanNya dengan sempurna di dalam Loh MahfuzNya dan jangan kita fikir-fikirkan lagi. Kita tidak akan dapat menukarkannya kerana rencanaNya tetap. Kalau pun ada pertukaran, ini sudahpun dilakarkan terlebih dahulu di dalam Loh MahfuzNya. Kalau Dia asyik menukar-nukar Pelan IndukNya maka ini menunjukkan Dia tidak Bijaksana dan Loh Mahfuz tidak sempurna.

Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan): [32]

Bibliografi

[1] Al Araaf (7):183.

[2] Al Ahzab (33):62.

[3] Ar Ra’d (13):2; At Talak (65):3.

[4] Al Kahfi (18):26

[5] Shad (38):27

[6] An Nisa (4):12; Al Israa (17):44; Hajj (22):59; Al Ahzab (33):51, Faatir (35):41

[7] Al Baqarah (2):225;235; Ali Imran (3):155; Al Maidah (5):101

[8] Al Baqarah (2):32; An Nisa (4):24

[9] Faathir (35):43

[10] Al Baqarah (2):208.

[11] At Talaq (65):3)

[12] Al Araaf (7):37

[13] Syeikh Abdul Qadir Al Jilani , Futuh Ghaib, 189 (1990).

[14] Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, Op cit, 83.

[15] Id, 40.

[16] Terjemahan  Sahih  Muslim Jilid 1, 5 (1994).

[17] Terjemahan  Sahih  Muslim Jilid 1, 5 (1994).

[18] Al Anbiya (21):33

[19] Ar Ra’d (13):31.

[20] Al Baqarah (2):255; Ali Imran (3):2; Al Baqarah (2):255; Thaahaa (20):111.

[21] An Nisa (4):78.

[22] Ar Rahman (55):29.

[23] Al Anaam (6):38.

[24] Al Hadid (57):22.

[25] Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, op cit, 96.

[26] Al Anaam (6):60; At Taubah 99:116..

[27] Az Zumar (39):42.

[28] At Taghaabun (64):11.

[29] Al Kahfi (18):23-24.

[30] Ali Imran (3):145.

[31] Ali Imran (3):152.

YAMAS

Yayasan Makrifatullah Sedunia (YAMAS) - Indonesia

You may also like...

1 Response

  1. Yunar Rachman says:

    Subhanallah….

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *