ISTILAH DAN SEJARAH (4)

Oleh: Ust. Hj. Hussien Bin Abdul Latiff

Nama Tarikat-Tarikat yang ada pada masa itu berkait dengan pengasas sistem itu sendiri. Hamka menulis:

Di masa itulah timbul Thariqat “Thaifuriyah” (Kalau cara Baratnya Thaifurism) dibangsakan kepada Thaifur (Abi Yazid Bustami). Assuktiyah dibangsakan kepada Surri Sukti. Khazzariyah dibangsakan kepada Abi Said Al Khazzar. Nuriyah dibangsakan kepada Husain An Nuri. Mulamatiyah dibangsakan kepada Hamdun Al Qasysyar: Hamka, Perkembangan Tasauf Dari Abad Ke Abad, 110 (1976)

Berkenaan perkataan “Ahli Sufi”, yang digunakan oleh ahli-ahli Tarikat untuk diri mereka pada abad ke empat Hijriah, perkataan ini sudah wujud sebelum zaman Islam. Mengikut Muhammad bin Ishaq bin Yasar, pernah pada satu masa di zaman pra Islam apabila semua penduduk Makkah telah meninggalkan Makkah, seorang ahli sufi sering datang dari tempat yang jauh untuk melakukan tawaf mengelilingi kaabah: M.M. Shariff, Sejarah Islam Dari Segi Falsafah, 314 (1994).

Juga setelah mengetahui Nabi Muhammad saw berada di Madinah, ramai para Ahli Sufi datang daripada pergunungan dan lembah ke Madinah untuk berjumpa baginda dan memeluk agama Islam di tangan baginda: Zainal Ariffin Abbas, op cit, 51; Mohd Sulaiman Hj Yasin, Mengenal Ilmu Tasawuf (Pengantar), 30 (1997).

Baginda meletakkan mereka di masjid baginda bersama para sahabat yang lain yang miskin dan yang tidak ada tempat tinggal mereka sendiri. Mereka digelar “Ahli Sufah”: Akram Diya Al-Umari, Madinan Society at the time of the Prophet Vol.1, 86 (1991).

Namun Ahli-ahli sufi ini (yang memeluk agama Islam pada zaman Nabi Muhammad saw) tidak mahu lagi dipanggil “Ahli Sufi”, mereka mahu dipanggil “Sahabat” kerana gelaran ini, mereka rasakan lebih mulia daripada nama “Ahli Sufi”. Dalam zaman Sahabat pula, Ahli-ahli Sufi yang bertemu Sahabat tetapi tidak bertemu Rasullulah (saw) lebih suka mereka dipanggil “Tabiin”. (Abu Al Wafa Al Ghanimi Al Taftazani,Perkembangan Tasawwuf Islam, 22 (1996); Mohd Sulaiman Hj Yasin, Mengenal Ilmu Tasawuf 2, 123 (1992)

Al Qusyairy pula berkata bahawa ahli sufi yang bertemu dengan Tabiin tetapi tidak bertemu dengan Sahabat senang pula di gelar “pengikut Tabiin”. (Al Qusyairy An Nasaibury, Risalatul Qusyairiyah, 485 (1997)

Dengan ini, perkataan “Ahli Sufi” dalam zaman Para Sahabat, Tabiin dan pengikut Tabiin tidak dipakai lagi.

Gelaran Sahabah (Sahabat Nabi) dan Tabiin (Pengganti Sahabat) amat dimuliakan dan oleh itu perkataan sufi – suatu gelaran yang mulia sudah tentunya- tidak diketahui pada zaman mereka: M.M. Shariff,Sejarah Islam Dari Segi Falsafah, 349 (1994).

Sesudah Pengikut Tabiin tiada, maka gelaran mereka berakhir. Dengan ini, ahli-ahli Tarikat Tasawuf yang ada pada masa itu memutuskan untuk menggunakan kembali kekata “Ahli Sufi”.

Mengikut sesetengah orang perkataan (Sufi) ini mula digunakan semasa generasi ketiga selepas Nabi (Taba Tabiin). Menurut sumber yang lain pula, digunakan pada abad ketiga Hijriah: M.M. Shariff, Sejarah Islam Dari Segi Falsafah, 349 (1994).

Imam Ahmad Ar Rifai ada menulis:

Ahli zuhud pada masa itu itu tidak lagi dinamakan dengan ahli zuhud bahkan mereka dikenali dengan nama ahli Tasawuf (Sufi): Saiyid Ahmad Ar Rifai, Benteng Ahli Hakikat Dalam Meniti Makrifat Kepada Allah,109 (1994)

Muliai daripada abad keempat Hijriah Tasawuf Tarikat berkembang keseluruh dunia dan di sana sini tertubuhlah pesentren-pesentren di mana ahli-ahli Tarikat ini dibimbing oleh Guru-guru. Dr Muhammad Abdul Rauf menulis:

Institusi Khanqah, pesentren ahli-ahli sufi, mulai dibina pada akhir abad keempat Hijriyyah dan setelah itu merebak keseluruh dunia: Muhammad Abdul Rauf, The Muslim Mind, 212  (1994).

Kini Tariqat Tasawuf mempunyai sistem tersendiri. Ketua ataupun Guru mereka dipanggil “Mursyid” ataupun “Syeikh” untuk membezakan mereka daripada Arif-Billah Jalan Nabi-nabi. Mursyid ataupun Syeikh mereka mempunyai Silsilah ataupun susunan guru-guru yang kononnya bermula daripada Rasulullah (saw) sehingga berakhir kepada Mursyid ataupun Syeikh yang menjadi pembimbing mereka itu. Murid-murid yang mahu belajar dengan mereka dikenakan janji setia ataupun “Baiat”. Sesudah itu, mereka menjalani latihan rohani sehingga terbuka Makrifatullah kepadanya. Latihan ini memerlukan murid-muridnya berzikir daripada lisan, ke hati dan seterus ke sirr. Setelah itu si murid akan masuk dalam keadaan hanya berdiam diri menunggu akan terbukanya Makrifatullah kepadanya.

i. Mursyid atau Syeikh

Untuk mencapai Makrifatullah menerusi cara Tarikat, seseorang itu mestilah mencari seseorang mursyid atau syeikh atau guru Tarikat yang dapat membimbingnya. Prof Aboebakar Atjeh ada menulis:

Di dalam sesuatu Tarikat terdapat syeikh atau mursyid, guru yang memberi pertunjuk: Aboebakar Atjeh,Pengantar Sejarah Sufi dan Tasauf, 49 (1977).

ii. Silsilah (Salasilah)

Mursyid atau syeikh atau guru Tarikat itu mestilah mempunyai tauliah  turun menurun daripada Nabi Muhammad saw. Inilah yang di panggil Silsilah. Prof Aboebakar Atjeh juga ada menulis:

Syeikh atau Musyid itu harus mempunyai silsilah, rangkaian pengambilan sesuatu Tarikat sampai kepada … Nabi Muhammad: Aboebakar Atjeh, Pengantar Sejarah Sufi dan Tasauf, 49 (1977).

Disambung minggu hadapan…

YAMAS

Yayasan Makrifatullah Sedunia (YAMAS) - Indonesia

You may also like...

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *