SESUDAH MAKRIFATULLAH – KERIDHOAN 3
Setiap pagi apabila kita terbangun daripada tidur, minda kita kosong sebelum dikerumuni dengan fikiran-fikiran ataupun kenangan-kenangan. Justeru itu, kita mulai mengingati siapa kita, apa yang kita perlu buat, apa yang berlaku sebelum ini dan perkara-perkara yang membuat kita risau, takut, gembira dan lain-lain lagi. Begitu juga, semasa kita dibangkitkan di hari kemudian, minda kita juga kosong.
Dan Dialah Tuhan yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.[1]
Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Dia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.[2]
Dan demikianlah pula Kami bangkitkan mereka (dari tidurnya), supaya mereka bertanya-tanyaan sesama sendiri. Salah seorang di antaranya bertanya: Berapa lama kamu tidur? (sebahagian dari) mereka menjawab: Kita telah tidur selama sehari atau sebahagian dari sehari. (Sebahagian lagi dari) mereka berkata: Tuhan kamu lebih menengetahui tentang lamanya kamu tidur.[3]
Dan sudah tentu akan ditiupkan sangkakala (menghidupkan orang-orang yang telah mati; apabilaberlaku yang demikian) maka semuanya segera bangkit keluar dari kubur masing-masing (untuk) mengadap Tuhannya. (Pada ketika itu) orang-orang yang tidak percayakan hidup semula berkata: Aduhai celakanya kami! Siapakah yang membangkitkan kami dari kubur tempat tidur kami? [4]
Sesudah kita sedar bahawa fikiran yang datang kepada kita (bukan kita menciptanya) maka tunggulah kedatangan mereka kerana kita dapat bezakan di antara fikiran yang baik dan yang jahat. Fikiran yang baik itu selalu datang daripada dalam dan fikiran yang jahat itu datang daripada luar. Lama kelamaan naluri kita dapat membezakan firkiran-fikiran itu. Justeru itu, kita tahu sedar fikiran yang jahat itu adalah godaan syaitan.
Kemudian aku datangi mereka, dari hadapan mereka serta dari belakang mereka, dan dari kanan mereka serta dari kiri mereka dan Engkau tidak akan dapati kebanyakan mereka bersyukur. [5]
Dengan itu, kesemua fikiran yang membuat kita marah, mahu menggunakan kekasaran, benci, dendam, tamak dan sebagainya adalah godaan syaitan. Kita harus mengetahui fakta ini kalau tidak kita akan menari mengikut rentak syaitan yang direjam dan akhirnya kita menjadi penyesalan.
Wahai anak-anak Adam! Janganlah kamu diperdayakan oleh Syaitan sebagaimana ia telah mengeluarkan kedua ibu bapa kamu dari Syurga, sambil dia menyebabkan terlucutnya pakaian mereka berdua untuk memperlihatkan kepada mereka: Aurat mereka (yang sebelum itu tertutup). Sesungguhnya Syaitan dan kaumnya melihat kamu dengan keadaan yang kamu tidak dapat melihat mereka.[6]
Dan sesungguhnya Syaitan itu telah menyesatkan golongan yang ramai di antara kamu; (setelah kamumengetahui akibat mereka) maka tidakkah sepatutnya kamu berfikir dan insaf? [7]
Sesungguhnya sesiapa di antara mereka yang menurutmu, tetaplah aku akan memenuhi Neraka Jahannam dengan (golongan) kamu (yang derhaka) semuanya.[8]
Sehubungan dengan ini, Syeikh Abdul Qadir Al Jilani ada berkata:
Jika, hati itu dikawal oleh syaitan dan hawa nafsu maka hati yang demikian itu akan mengawal anggota dan badan lalu melakukan perkara yang tidak senonoh. [9]
Sesudah kita dapat bezakan di antara fikiran baik dengan yang jahat, kita boleh mencegah fikiran-fikiran jahat dari masuk ke minda kita. Kita boleh mencegahnya dengan memuatkan hanya ingatan Allah swt sahaja didalam minda kita.
Sesungguhnya orang-orang yang bertakwa, apabila mereka disentuh oleh sesuatu imbasan hasutan dari Syaitan, mereka ingat (kepada ajaran Allah) maka dengan itu mereka nampak (jalan yang benar). [10]
Dan berkatalah pula Syaitan setelah selesai perkara itu: Sesungguhnya Allah telah menjanjikan kamu dengan janji yang benar dan aku telah menjanjikan kamu lalu aku mungkiri janjiku itu kepada kamu dan tiadalah bagiku sebarang alasan dan kuasa mempengaruhi kamu selain daripada aku telah mengajak kamu lalu kamu terburu-buru menurut ajakanku itu; maka janganlah kamu salahkan daku tetapi salahkan diri kamu sendiri. Aku tidak dapat menyelamatkan kamu dan kamu juga tidak dapat menyelamatkan daku.[11]
Kita mesti mengingati Allah swt sahaja.
Oleh itu ingatlah kamu kepadaKu supaya Aku ingat kepadamu. [12]
Sesungguhnya Akulah Allah; tiada Tuhan melainkan Aku; oleh itu, sembahlah akan Daku dan dirikanlah sembahyang untuk mengingati Daku. [13]
Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan sembahyang, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk dan semasa kamu berbaring. [14]
Sesungguhnya berjayalah orang yang setelah menerima peringatan itu berusaha membersihkan dirinya dan menyebut-nyebut dengan lidah dan hatinya akan nama Tuhannya serta mangerjakan sembahyang. [15]
Sehubungan dengan ini, Syeikh Abdul Qadir Al Jilani ada berkata:
Hati adalah ibarat rumah dan rumah itu tidak boleh diduduki oleh dua orang. Maka rumah itu hendaklah diduduki oleh Yang Satu sahaja iaitu Allah stw.[16]
Biarlah hati itu bersih dari segala-galanya selain Allah. [17]
Berjaga-jagalah! Tiap-tiap raja mempunyai taman larangannya sendiri dan taman larangan Allah ialah perkara-perkara yang haram.[18]
Apabila kita mengingati Allah swt janganlah kita mewajahkanNya sama sekali dalam apa jua bentuk.
Tiada sesuatupun yang sebanding denganNya. [19]
Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya. [20]
Dia tidak dapat dilihat dan diliputi oleh penglihatan mata. [21]
Namun begitu ada juga kumpulan yang mewajahkan guru mereka di dalam ibadah mereka. Praktis ini dinamakan “Rabitah”.
Mereka menjadikan pendita-pendita dan ahli-ahli agama mereka sebagai pendidik-pendidik selain dari Allah. [22]
Dengan minda kita mengingati Allah swt sentiasa, kita akan dapat ketenteraman, keamanan serta ketenangan. Peringatan kepada Allah swt menghalang fikiran-fikiran jahat daripada syaitan-syaitan menembusi minda kita. Dengan itu, hendaklah kita mencari perlindungan dengan Allah swt dengan mengingatiNya sentiasa.
Orang-orang yang beriman hati mereka menjadi tenteram dengan mengingati Allah. Ketahuilah hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenteram.[23]
Sesungguhnya Syaitan itu tidak mempunyai sebarang pengaruh terhadap orang-orang yang beriman dan yang berserah bulat-bulat kepada Tuhan mereka.[24]
Dan katakanlah: Wahai Tuhanku, aku berlindung kepadaMu dari hasutan Syaitan-syaitan. Dan aku berlindung kepadaMu, wahai Tuhanku, supaya Syaitan-syaitan itu tidak menghampiriku.[25]
Sesungguhnya beruntunglah orang yang mensucikan jiwa itu dan sesungguhnya merugilah orang yang mengotorinya.[26]
Sehubungan dengan ini Syeikh Abdul Qadir Al Jilani ada berkata:
Tinggalkanlah apa sahaja di luar pintu bilik khalwat kamu itu dan masuklah ke dalam seorang diri. [27]
22. Apabila minda seseorang itu sudah kerap dimuatkan dengan ingatan kepada Allah maka dia akan dijemput bersamaNya. Dengan ini, dia akan merasakan suatu nikmat dan kebahagian yang tidak dapat dia gambarkan.
Hai jiwa yang tenang kembalilah kepada Tuhanmu dengan hati yang puas lagi diredhaiNya. Maka masuklah ke dalam jemaah hamba-hambaKu[28]
Sehubungan dengan ini, Syeikh Abdul Qadir Al Jilani ada berkata:
Hatinya kosong dari apa sahaja selain Allah. Maka barulah ia sampai masuk ke dalam majlis Tuhan Yang Maha Tinggi. Allah kasih kepadanya dan dia kasih kepada Allah.[29]
Bibliografi
[1] Al Furqan (25):47
[2] Al An’aam (6):60
[3] Al Kahfi (18):19. Penghuni gua yang tidur selama 300 tahun tetapi menyangka baru semalam.
[4] Yasin (36):51-52
[5] Al Araaf (7):17
[6] Al Araaf (7):27
[7] Yasin (36):62
[8] Al Araaf (7):18.
[9] Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, Futuh Ghaib, 80 (1990).
[10] Al Araaf (7):200-201
[11] Ibrahim (14):22
[12] Al Baqarah (2):152.
[13] Thaha (20):14
[14] An Nisa (4):103.
[15] Al A’laa (87):14-15.
[16] Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, Futuh Ghaib, 79 (1990).
[17] Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, Futuh Ghaib, 138 (1990).
[18] Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, Futuh Ghaib, 102 (1990).
[19] Asy Syura (42):11.
[20] Al Iklas (112):4.
[21] Al Anaam (6):103.
[22] At Taubah (9):31.
[23] Ar R’ad (13):28
[24] An Nahl (16):99
[25] Al Mukminun (23):97-98
[26] Ash Sham (91):9-10
[27] Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, Futuh Ghaib, 188 (1990).
[28] Al Fajar (89):28
[29] Syeikh Abdul Qadir Al Jilani, Futuh Ghaib, 143 (1990).
[30] At Tahrim (66):8
KOMENTAR