LAUH MAHFUDZ 4
Oleh Ust. Hj. Hussien Bin Abdul Latiff, judul asli (Sesudah Makrifatullah, Loh Mahfudz)
Kerana KebijasaknaanNya maka Loh MahfuzNya mestilah sempurna lagi berhikmah. Allah swt ada berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan): Al Qamar (54):49
Maka adakah patut kamu menyangka bahawa Kami hanya menciptakan kamu sahaja dengan tiada sebarang hikmat pada ciptaan itu? Al Mu’minun (23):115
Allah tidak menjadikan semuanya itu melainkan dengan adanya faedah dan gunanya yang sebenar. Yunos (10):5
Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu: At Talaq (65):3
Juga mustahil bagi Allah swt yang Maha Bijaksana melupakan sesuatu atau membuat kesalahan di dalam Loh Mahfuz yang memerlukan ubahsuai. Allah swt ada berfirman yang bermaksud:
Tidaklah Kami alpakan sesuatupun di dalam al Kitab: Al Anaam (6):38.
Tidak luput dari pengetahuan Tuhanmu biarpun sebesar zarrah (atom) di bumi ataupun di langit. Tidak ada yang lebih kecil dan tidak (pula) yang lebih besar dari itu melainkan (semua tercatat) dalam kitab yang nyata Loh Mahfuz: Yunus (10):61; Al Qamar (54):52-53
Tidak jatuh sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak sesuatu yang basah atau yang kering melainkan tertulis dalam kitab yang nyata (Loh Mahfuz): Al Anaam (6):59.
Tiada suatu bencanapun yang menimpa di bumi dan (tidak pula) pada dirimu melainkan telah tertulis dalam kitab (Loh Mahfuz) sebelum Kami menciptakannya. Sesungguhnya yang demikian itu adalah mudah bagi Allah: Al Hadid (57):22.
Apa juga yang telah dilakarkan di dalam Loh Mahfuz sama ada yang baik ataupun tidak menjadi takdir ataupun qadha dan qadar bagi kita. Ia juga menjadi rukun iman yang keenam dan sekiranya kita tidak dapat menerima ini maka kita belum beriman. Dengan itu, kita akan dimasukkan dalam neraka. Nabi Muhammad(saw) ada bersabda yang bermaksud:
Hendaklah engkau beriman kepada Allah, kepada malaikat-Nya, kitab-kitab-Nya, para utusan-Nya, dan Hari Akhir (kiamat) serta beriman kepada takdir dan buruknya takdir: Terjemahan Sahih Muslim Jilid 1, 5 (1994).
Maka perlu engkau ketahui bahawa musibah yang menimpa kamu tak akan hilang daripadamu. Dan sesuatu yang mesti terlepas daripadamu tak akan dapat memberikanmu musibah. Dan jika engkau mati dengan keyakinan selain ini, pasti engkau akan masuk ke neraka: Terjemahan Sunan Ibnu Majah Bk. 1, 65 (1992).
Menolak kesempurnaan Loh Mahfuz bererti juga menolak Kebijaksanaan Allah swt. Dengan ini, Allah swt juga akan menolak sedekah kita walaupun ianya setinggi Gunung Uhud. Menolak KesempurnaanNya juga bererti kita sudah sekongkolan dengan syaitan-syaitan. Nabi Muhammad(saw) ada bersabda yang bermaksud:
Seandainya salah seorang di antara mereka mempunyai emas segunung Uhud yang dia nafkahkan maka Allah tidak bakal menerimanya sebelum dia beriman kepada takdir:” Terjemahan Sahih Muslim Jilid 1, 4(1994).
Dan jika engkau tertimpa dengan sesuatu musibah maka janganlah berkata, “Seandainya sahaja aku berbuat begini dan begini.” Akan tetapi katakanlah, “Allah sudah mentakdirkan dan apa yang Dia kehendaki pasti dilaksanakan-Nya.” Ketahuilah bahawa kata, “Seandainya” akan membuka jalan bagi syaitan untuk menggoda: Terjemahan Sunan Ibnu Majah Bk 1, 67 (1992).
Kerana tiada suatupun Allah swt lupakan dalam Loh MahfuzNya maka kesemua pengurusan yang berhubungkait dengan kesemua ciptaanNya sudah terlakar apabila Dia berfiman, “Jadilah!”. Allah swt telah berfirman yang bermaksud:
Allah mengatur urusan (makhluk-Nya): Ar Ra’d (13):2; At Talak (65):3.
Dia Yang Hidup Kekal lagi terus menerus mengurus (makhluk-Nya). Al Baqarah (2):255; Ali Imran (3):2; Al Baqarah (2):255; Thaha (20):111.
Setiap waktu Dia dalam kesibukan: Ar Rahman (55):29.
Kerana kesemua yang berhubungkait dengan ciptaanNya sudahpun terlakar apabila Allah swt berfirman, “Jadilah!” dengan ini kesemua tindak-tanduk ciptaanNya sebenarnya sudahpun diizinkanNya. Justeru itu, tiada yang boleh berlaku tanpa keizinanNya. Allah swt berfirman yang bermaksud:
Tidak ada suatu mushibah yang menimpa seseorang kecuali dengan izin Allah. At Taghaabun (64):11.
Sesuatu yang bernyawa tidak akan mati melainkan dengan izin Allah sebagai ketetapan yang telah ditentukan waktunya. Ali Imran (3):145.
Kamu membunuh mereka dengan izin-Nya. Ali Imran (3):152
Kemudian aku meniupnya maka ia menjadi seekor burung dengan keizinan Allah. Ali Imran (3):49.
Mereka itu (ahli sihir) tidak memberi mudharat dengan sihirnya kepada seseorang kecuali dengan keizinan Allah. Al Baqarah (2):102.
Dan tidak ada seorangpun akan beriman kecuali dengan izin Allah. Yunus (10):100.
Dan tidak ada hak bagi seorang Rasul mendatangkan sesuatu ayat (mukjizat) melainkan dengan izin Allah. Hud (11):38.
Lalu diwahyukan kepadanya dengan seizin-Nya. Asy Syuraa (42):51.
Untuk menjadi penyeru agama Allah dengan izin-Nya. Al Ahzab (33):46.
Tidak dapat bagi seorang rasul membawa suatu mukjizat melainkan dengan seizin Allah. Al Mukmin (40):78.
Dan Dia menahan (benda-benda) langit jatuh ke bumi melainkan dengan izin-Nya? Al Hajj (22):65.
Kapal-kapal dapat belayar dengan seizin-Nya. Al Jatsiyah (45):12.
Apa sahaja yang kamu tebang dari pohon kurma atau yang kamu biarkan berdiri di atas pokoknya maka (semua itu) adalah dengan izin Allah. Al Hasyr (59):5.
Di kala datang hari (hisab) itu, tidak ada seorangpun yang berbicara melainkan dengan izin-Nya. Hud (11):105;An Naba (78):38.
Dan tiadalah berguna syafaat di sisi Allah melainkan bagi orang yang telah diizinkan –Nya memperolehi sya’faat ini. Saba (34):23; An Najm (53):26.
Sehubungan dengan ini, Nabi Muhammad saw ada menceritakan tentang perbualan di antara Nabi Musa as dan Nabi Adam as yang maksudnya seperti berikut:
Nabi Musa as berkata, ” Hai Adam, engkau adalah bapa kami tetapi engkau telah mempersia-siakan kami serta mengeluarkan kami daripada syurga kerana dosa-dosamu.” Nabi Adam as menjawab, ”Hai Musa, Allah telah memilihmu dengan Kalam-Nya dan menulis Taurat untukmu dengan tangan-Nya maka apakah engkau menyalahi aku atas perkara yang telah ditakdirkan Allah kepadaku 40 tahun sebelum aku diciptakan?” Terjemahan Sunam Ibnu Majah Buku 1, 68 (1992).
Ini juga yang dikatakan oleh Nabi Khidhir (as) kepada Nabi Musa (as) yang tertera di dalam Al Quran yang bermaksud:
Dan bukan aku melakukannya itu menurut kemahuanku sendiri. Al Kahfi (18):82.
Apabila Allah swt berfirman, “Kun” terjadilah Loh MahfuzNya dan pada masa yang sama DzatNya mengambil peranan masing-masing daripada lakaran yang telah Dia izinkanNya di dalam Loh Mahfuz dan dengan itu terzahirlah ciptaan termasuk ruang dan masa.
Apabila Allah berkehendak menetapkan sesuatu maka Allah hanya cukup berkata kepadaNya, “Jadilah”, lalu jadilah dia. Ali Imran (3)47
KOMENTAR